Tips-tips Mengulangkaji Sejarah
Setiap pelajar sudah tentu mempunyai strategi dan yang
tersendiri untuk mengulang kaji pelajaran. Biasanya strategi seseorang pelajar
tidak serupa dengan strategi pelajar yang lain. Ia bergantung kepada keupayaan
individu, persekitaran, pengalaman calon menduduki ujian atau peperiksaan yang
lalu dan sebagainya.
Teknik atau strategi yang terbaik ialah yang selesa, sesuai,
semula jadi dan anda fikir berkesan dengan cara anda! Oleh itu para pelajar
hanya perlu membina strategi mengulang kaji pelajaran Sejarah berdasarkan
kepada faktor-faktor tersebut. Berikut adalah beberapa panduan atau teknik
mengulang kaji mata pelajaran Sejarah (PMR,SPM & STPM).
· Mengetahui topik-topik penting.
Calon perlu mengetahui beberapa maklumat penting mengenai
topik-topik pelajaran Sejarah semasa membuat ulang kaji. Calon perlu mengetahui
ciri-ciri utama soalan kertas Sejarah termasuklah masa ujian, bilangan soalan,
format soalan, kod kertas, topik-topik penting yang kerap dikemukakan dalam peperiksaan
dan sebagainya.
Jangan panik atau gementar jika calon belum mengulang kaji
keseluruhan topik tersebut sepenuhnya. Lihat jadual yang disertakan di bawah
ini sebagai panduan. Beri keutamaan kepada topik-topik penting yang menjadi
minat anda dahulu.
Selalunya topik-topik penting akan diberi tumpuan semasa
membuat ulang kaji. Kemudian diikuti dengan topik-topik yang lain. Buat ulang
kaji dengan penuh minat dan ketekunan kerana minat dan ketekunan akan
menyebabkan pembelajaran anda akan lebih tersusun! Dengan cara ini anda akan
mengulang kaji topik-topik yang lebih sukar dan mencabar tanpa rasa bosan atau
terpaksa.
Anda juga boleh membuat ulang kaji dan tumpuan yang lebih
kepada topik-topik yang agak sukar dan mencabar dan mengurangkan penekanan
kepada topik yang anda fikir lebih mudah dikuasai. Calon akan mengulang kaji
dengan cekap dan seimbang bagi setiap topik untuk memperoleh hasil yang
maksimum.
· Mengulangkaji
secara sistematik dan kronologi.
Peristiwa dan
fakta sejarah biasanya disusun mengikut kronologi. ( KRONOLOGI bermaksud
susunan dari yang awal kepada yang akhir) Calon-calon perlu mengulangkaji
tajuk-tajuk yang mempunyai fakta dan peristiwa yang terlalu padat mengikut
susunan iaitu yang dahulu didahulukan, dan yang kemudian dikemudiankan. Ini
untuk mengelakkan kekeliruan bagi mengingat fakta dan peristiwa penting. Contoh
Kronologi ialah seperti susunan peristiwa dibawah. Kita perlu memahami
peristiwa awal seperti Cadangan penubuhan Malaysia sebelum memahami
proses-proses bagaimana Malaysia terbentuk.
Rajah 1 : Gagasan
Malaysia sehingga penubuhannya pada 1963
Cadangan
penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman 27 Mei 1961
Jawatankuasa
Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) Julai 1961
Suruhanjaya
Cobbald 19 Februari - 17 April 1962
Jawatankuasa
Antara Kerajaan (JAK) Ogos 1962
Rujuksuara/Referendum
di Singapura 1 Sept 1962
Brunei menolak
cadangan Malaysia Julai 1963
Rombongan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Sabah dan Sarawak 16 Ogos - 5 Sept 1963
Pengisytiharan
Malaysia 16 Sept 1963
Apabila anda
sudah menguasai isi pelajaran/topik mengikut kronologi dengan baik, anda tidak
akan mengalami masalah kekeliruan untuk menghuraikan untuk mengulangkaji tanpa
mengikut urutan.
· Pertarikhan
dalam mata pelajaran Sejarah
Peristiwa dan
fakta Sejarah memang tidak boleh dipisahkan dengan tarikh. Perlu diingat,
soalan Sejarah tidak bertujuan untuk membebankan pelajar dengan begitu banyak
tarikh yang perlu diingat atau dihafal. Memadailah dengan mengingat atau
menghafal tarikh penting atau kurun itu sahaja.
Rajah 2:
Penentangan tokoh tempatan terhadap British pada abad ke-19
Tahun
Tokoh
Tempat
1831-1832 Dol
Said Naning
1875
Maharaja Lela Tok Sagor
Perak
1875
Yamtuan Tengku Antah
Negeri Sembilan
1853
Rentap
Sarawak (Sungai Skrang)
1859
Syarif Masahor Sarawak(Sarikei)
1891-1895 Dato'
Bahaman & Tok Gajah
Pahang
1894-1900 Mat
Salleh
Sabah (Sungai Sugut)
· Mengkaji
perjanjian penting
Terdapat banyak
perjanjian penting yang memberi kesan kepada perkembangan sejarah politik,
ekonomi dan sosial negara kita. Setiap satu perjanjian mempunyai sebab mengapa
ia dimetrikan. Setiap perjanjian juga mempunyai syarat-syarat atau isi yang
berbeza dengan perjanjian yang lain. Malah lebih hebat lagi ia memberi implikasi yang bukan sedikit kepada
negara kita. Contohnya ialah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 atau Perjanjian
London 1824.
Sebab-sebab
perjanjian London ditandatangani
Belanda membantah
pembukaan Singapura dan mendakwa bahawa Singapura di bawah pengaruh mereka.
Sejak dibuka,
Singapura terus berkembang dengan pesat dan perdagangannya bertambah.
Badan perdagangan
di London dan Calcutta mendesak kerajaan British supaya terus menduduki
Singapura. Kerajaan British ingin bersahabat dengan Belanda demi menjaga
kepentingan masing-masing di Timur.
Pada 17 Mac 1824,
kedua-dua kerajaan menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda atau Perjanjian
London.
Isi-isi penting
Perjanjian London
Singapura, Tanah
Melayu dan India menjadi kawasan pengaruh British.
Wilayah di
Selatan Singapura termasuk Riau-Lingga dan Hindia Timur menjadi kawasan
pengaruh Belanda.
Belanda
melepaskan tuntutannya ke atas Singapura dan mengakui Singapura sebagai tanah
jajahan British.
Belanda
menyerahkan Melaka kepada British.
British
menyerahkan Bangkahulu (Bencolen) kepada Belanda.
Belanda akan
mengekalkan monopoli perdagangan di Pulau Maluku.
Belanda akan
membayar RM100,000 kepada British untuk menyelesaikan hutangnya.
Perjanjian
monopoli bijih timah di antara Belanda dengan Negeri-negeri Melayu akan
dibatalkan.
Kesan-kesan
penting perjanjian tersebut
Gugusan Kepulauan
Melayu terbahagi kepada dua bahagian. British bebas meluaskan kuasanya di Tanah
Melayu tanpa gangguan Belanda.
Empayar
Johor-Riau juga terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Kepulauan Riau-Linggi di
bawah pengaruh Belanda dan tanah besar Johor di bawah pengaruh British.
Empayar
Johor-Riau telah berakhir; Pahang (iaitu jajahan Johor) mengambil kesempatan
membebaskan diri daripada kawalan Johor.
Pahang diperintah
oleh keluarga Bendahara.
Singapura kekal
sebagai tanah jajahan British.
Cuba fahami
setiap perjanjian-perjanjian penting, faktor-faktor yang menyebabkan
termeterainya sesuatu perjanjian, isi-isi perjanjian dan kesan selepas
perjanjian tersebut ditandatangani. Contoh perjanjian-perjanjian yang popular
dan sering dikemukakan dalam ialah:
o Perjanjian
Inggeris - Belanda 1824
o Perjanjian
Burney 1826
o Perjanjian
Pangkor 1874
o Perjanjian
Persekutuan 1896
o Perjanjian
Bangkok 1909
o Perjanjian
Persekutuan 1956 dan lain-lain.
· Sumbangan
tokoh-tokoh penting.
Cuba ulang kaji
juga mengenai biografi tokoh-tokoh penting negara seperti Maharaja Abu Bakar,
Dato' Onn bin Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Tun Abdul Razak bin
Hussein, Ibrahim Yaakob, Dr Burhanuddin Al Helmi, Ishak Haji Muhammad dan
sebagainya. Fokuskan kejayaan utama dan sumbangan mereka kepada negara. Walau
bagaimanapun bacalah juga butir-butir peribadi mereka, pendidikan, latar
belakang dan gambar foto mereka yang terdapat di dalam buku teks untuk
memudahkan pelajar mengecam wajah tokoh-tokoh tersebut.
Untuk sejarah
Dunia juga pelajar perlu mengenali masa kegemilangan tokoh ( jangka hayat
tokoh), sumbangan tokoh kepada negaranya atau kepada masyarakatnya. Contoh
tokoh penting seperti, Aristotle,Socrates, Plato, Nabi Muhammmad,
Khalifah-khalifah, Para Ilmuwan & Falsafah, dan ramai lagi.
TIPS : Bagaimana
mengingat nama tokoh yang pelik-pelik.....??? Kebanyakan pelajar mempunyai
masalah mengingat nama-nama tokoh terutamanya nama yang agak pelik. Contohnya
seperti Socrates, Nebuchanezzar, Pericles, dan sebagainya. Untuk mengatasi
masalah ini dicadangkan pelajar menulis sebanyak mungkin nama tokoh tersebut diatas
kertas Mungkin 20 hingga 40 kali. Cuba tulis dengan mengeja mengikut suku-suku
kata. Contohnya Nebuchanezzar ----- dieja dan ditulis seperti berikut : Ne/ bu/
cha /nezzar ---------- Nebuchanezzar.
· Fahami KONSEP
penting.
Para pelajar juga
perlu memahami konsep-konsep penting. Contohnya seperti konsep Sistem
Pemerintahan, Demokrasi, Republik, Kerajaan, Revolusi, Tamadun, Imperialisme,
Nasionalisme, Sistem Pemerintahan, Sistem Feudal, Monarki, Anarki, Autokrasi
dan sebagainya. Cuba dapatkan huraian tentang konsep-konsep tertentu dengan
jelas kerana ia membantu anda memahami topik-topik tertentu dengan lebih mudah.
Anda juga perlu memahami
perbezaan antara satu konsep dengan konsep yang lain. Contohnya perbezaan
konsep Sistem Pemerintahan Demokrasi dengan Sistem Pemerintahan Feudal.
Disarankan anda mendapatkan bantuan guru anda untuk memberikan penjelasan
tentang konsep-konsep yang anda masih kabur.
· Bersedia dengan
soalan berbentuk stimulus.
Para pelajar
diminta membiasakan diri dengan soalan berbentuk peta, pernyataan, petikan,
carta,graf, gambarajah, puisi, gambar foto, ilustrasi, maklumat peristiwa,
situasi, dialog, perbilangan jadual, senarai dan sebagainya. Pelajar yang telah
membiasakan diri dengan bentuk soalan seperti ini semasa membuat ulangkaji akan
lebih menguasai sesuatu tajuk dengan cepat dan cekap.
· Membuat Nota
Pelajaran Sejarah
tidak pernah membebankan pelajar dengan sesuatu yang terlalu mencabar hingga
susah dicapai oleh kebanyakan pelajar. Apa yang penting, pelajar memahami sesuatu
peristiwa sejarah itu sendiri. Pelajar yang asyik membaca tetapi masih kabur
dan tidak memahami topik yang dibaca perlu mengambil langkah berikut:
- membaca teks
buku rujukan
- menggariskan
fakta yang dianggap penting
- membaca sambil
mencatat nota
Cara pertama
memakan masa lebih-lebih lagi kalau buku rujukan terlalu tebal dan pelajar
mungkin mengalami kesusahan untuk menghabiskannya. Oleh itu pelajar perlu
bersedia sejak awal lagi.
Teknik kedua juga
lebih berkesan asalkan pelajar tidak terlalu cenderung untuk menggaris sehingga
semua perkataan di dalam teks turut digaris!
Cara ketiga
paling berkesan kerana nota yang dibuat adalah ringkas dan dianggap penting.
Cara ini menjimatkan masa dan tenaga kerana pelajar yang kurang memahami
sesuatu maklumat penting akan membaca teks asal semasa mengulang kaji pelajaran
untuk peperiksaan.
Nota bolehlah
dibuat dalam pelbagai bentuk antaranya dalam bentuk:
Bentuk Carta
Alir, Peta Minda, Jadual Besar, Gambar-gambar Kartun, Akronim, Penggunaan Kata
Kunci dan sebagainya bergantung kepada minat dan kesesuaian pelajar. Penting
juga nota ini ditulis dalam buku yang mudah dibawa untuk memudahkan pelajar
mengulangkaji dimana-mana (di Stesen Bas, kantin dsb).
· Ulang kaji
soalan lepas.
Calon gemar
menjawab soalan-soalan Sejarah yang lalu akan lebih bersedia, lebih yakin,
lebih bersemangat dan meramal bentuk atau format soalan akan datang. Mengetahui
contoh-contoh soalan tahun lepas sangat berguna kepada calon. Ia memberi
gambaran bagaimana sesuatu soalan dikemukakan, bilangannya, taburannya dan
kekerapan setiap topik disoal.
Ini diakui ramai
guru-guru Sejarah kerana Lembaga Peperiksaan sendiri sering mengeluarkan
laporan analisis jawapan calon-calon beberapa tahun lalu pada setiap tahun.
Daripada analisis laporan tersebut para guru boleh mengetahui kelemahan yang
dilakukan oleh setiap calon tahun lepas. Dengan cara inilah calon dapat
membaiki kelemahan dan membaiki kelemahan tersebut semasa membuat ulangkaji.
· Soalan Ramalan.
Guna soalan
ramalan bukan untuk meneka atau meramal soalan yang akan keluar. Soalan ramalan
digunakan untuk membuat latihan dan menguji keupayaan calon sahaja. Jika soalan
ramalan yang anda jawab itu keluar, anggaplah ia kebetulan atau sebagai bonus
sahaja. Ini disebabkan soalan ramalan memang diragui ketepatannya. Jadi jangan
terlalu percaya kepada soalan ramalan hingga tidak mahu mengulangkaji tajuk
lain .
· Meneka jawapan
dalam peperiksaan.
Boleh, jika calon
tidak pernah menduga atau calon benar-benar tidak tahu soalan dan mengganggu
jawapan yang dikemukakan. Bagaimanapun anda harus meneka secara bijak iaitu
dengan membuat pilihan yang anda pasti betul dan membuang pilihan yang sudah
pasti salah. Kemudian pilih jawapan yang paling tepat sahaja daripada pilihan
jawapan yang tinggal. Lebih baik meneka daripada tidak menjawab langsung!
· Membuat latihan
sendiri.
Selalulah mencuba
membuat latihan sendiri atau secara berkumpulan di rumah semasa membuat ulang
kaji untuk menilai kelemahan diri sendiri di samping membuat latihan atau ujian
yang diberikan oleh guru Sejarah anda di kelas. Apa yang penting ialah para
pelajar harus mencuba dan terus mencuba latihan yang dibuat sendiri tanpa
perasaan jemu atau terpaksa! Akhirnya, ia akan menjadi satu kebiasaan belajar
yang berkesan.
Kebiasaan
menjawab sesuatu latihan akan menjadikan seseorang pelajar menjadi mahir dalam
topik yang disoal atau dikemukakan. Jika pelajar mengamalkannya maka pelajar
kurang menghadapi masalah dalam pelajaran tersebut. Ia bukan sahaja memudahkan
pelajar mengingat sesuatu fakta sejarah bahkan sentiasa berusaha untuk menjawab
soalan yang lebih mencabar.
·
Habiskan ulang kaji sebelum bulan Ogos.
Anda
mesti menghabiskan ulang kaji topik-topik penting mata pelajaran Sejarah
sebelum atau pada bulan Ogos untuk memudahkan anda membuat latihan pelajaran
lain juga. Jadi, pelajar harus mengisi masa yang terluang untuk membuat ulang
kaji. Ingat, calon perlu mengasah kemahiran sendiri dengan menjawab soalan
peperiksaan yang banyak demi kejayaan dan kecemerlangan pencapaian semua mata
pelajaran yang diambil dengan seimbang. Calon bukan berhadapan dengan kertas mata pelajaran Sejarah sahaja.
Pelajaran lain juga perlu masa belajar yang seimbang.
· Minat terhadap
mata pelajaran Sejarah.
Minat merupakan
pendorong kuat yang dapat menggalakkan ke arah kejayaan bagi merangsang calon
untuk terus belajar. Sebenarnya, ada beberapa cara yang boleh membantu calon
meminati pelajaran Sejarah. Antaranya anda perlu mengingati nama-nama tokoh
(negarawan) sebagaimana anda mengingati nama-nama jaguh sukan negara dan
bintang Filem (e.g kaitkan nama dengan Filem Star & Rock Star). Anda juga
boleh mengembangkan aspek-aspek yang digemari atau disukai dalam kehidupan
pelajar dengan mata pelajaran Sejarah. Sekiranya anda ingin menjadi seorang
peguam, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk membolehkan anda mencapai
cita-cita tersebut.
Seterusnya, untuk
memperkembangkan minat terhadap pelajaran Sejarah, anda perlu meluangkan masa
menonton filem-filem sejarah (cth: Peristiwa Bukit Kepong, Ghandi, dsb),
dokumentari (cth: Jejak Rasul, Discovery, National Geographic) atau mengunjungi
pameran bercorak sejarah dan membuat perkaitan pendidikan Sejarah dengan
kehidupan pelajar. Contohnya bila anda melihat Piramid dalam filem The Mummy,
anda dapat membayangkan fakta sejarah kehidupan masyarakat Mesir Purba dan
membuat perbezaan dengan cara hidup masa kini. Begitu juga dengan melihat
gambar bangunan Parlimen, anda boleh membuat interpretasi negara kita
mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen. Dengan melawat Tugu Negara anda
pernah mempelajari pahlawan kita yang terkorban kerana melawan komunis semasa
darurat dan sebagainya. Ingat! ·
* Sesuatu subjek yang diminati lebih mudah
diingati.
* Minat boleh dibina dengan mencari serta
memperkembangkan aspek yang digemari atau
disukai.
* Minat, kegemaran dan kemajuan saling
dipadankan dengan cita-cita akan membantu kecemerlangan.
* Minat membantu anda memaksa diri untuk
berjaya !
Semoga Berjaya
!!!
Lagi Tips : Dulu
cikgu saya ada bagi satu tips...katanya sehari sebelum belajar tajuk yang kita
hendak belajar, kita mestilah baca dan fahami dahulu dirumah. Kemudian
disekolah ketika belajar tajuk itu cuba beri tumpuan dan tanya konsep yang anda
masih kabur kepada guru anda. Kemudian sejurus selepas diajar buat ulangkaji
sekali lagi tajuk itu dirumah. Apabila sudah genap seminggu belajarlah tajuk
itu sekali lagi. Ini diikuti ulangkaji apabila sudah sebulan belajar tajuk itu.
Dan akhirnya ulangkajilah tajuk itu beberapa minggu sebelum peperiksaan. Dengan
cara ini menurutnya pelajar sekurang-kurangnya telah membaca dan mengulangkaji
satu-satu topik 6 kali sebelum peperiksaan. Katanya kaedah ini membantu
meningkatkan keupayaan ingatan pelajar.
SELAMAT BERUSAHA & SELAMAT MENCUBA